Racau Paduka Jurus

Semakin pantas masa memintas hayat, semakin hampir langkah ke nokhtah destinasi. Dalam aku menghitung kira jumlah waktu yang tersisa, buat melangsai hutang amal yang tak terhingga, mereka bersandiwara membuang saat yang tersua. Binggung aku, memuntal bena akal. Lantaran apa mereka tidak sedar. Aneh mereka masih bersantai , melangkah longlai membinggai. Padahal masih banyak ehwal urusan yang terabai dan belum selesai. Di pengkalan ilmu, ada insan yang makin lesu, ada manusia yang buat tak tahu, ada makhluk yang terburu buru, ada nama yang hilang tuju, ada wajah yang musykil selalu, ada rupa yang suka gerutu, ada bayangan yang suka mengganggu. Sedang detik terus belari, mereka masih diulit mimpi menanti rezeki datang ke kaki, menunggu ilmu masuk atlari. Bungkam mulut dek khatam kalimah pujuk, sawan minda oleh kalam berangnya. Sebaris tanbih di kuis telinga, sebungkal khutbah disingkir semua. Yang ada dikotak minda cuma cita rasa, yang subur dijiwa hajat mahunya. Pengajaran didepan mata, takdir katanya. Siksa menghadap petaka, lumrah ungkapnya. Asal jangan tunduk pada nyata, asal jangan akur pantang setia. Lalu jasad lesu berpapah dunggu itu, berkelana mencari mahu. Sesekali tersandung aral, pantas muncung mengucap kesal. Tak kurang yang mendengus bebal, walau urat minda dan akal berpintal, namun ego tetap tebal, degil tetap kebal. Tunggu dan lihat, Si Jahal mengejar sesal. Walau tasdiq simpati dihati, cukuplah bertempik dalam diri. Kerana, taraf dewa dewi memang tidak hadap belas simpati. Jauh sekali mengakui dan mengesali kesilapan diri.

Comments

Popular posts from this blog

BUAT RENUNGAN ANAK PERGURUAN SIDRAH, MUSLIMIN DAN MUSLIMAH

SELAMAT HARI RAYA IEDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN

Bingkisan Paduka Jurus