Silat sidrah lahirkan pendekar yang berakhlak

Abu Rafi’ berkata: “Wahai Rasulullah adakah bagi anak-anak kami berhak seperti mana kita berhak ke atas mereka? Baginda menjawab: “Ya, hak seorang anak yang perlu ditunaikan oleh bapanya ialah mengajar anaknya menulis, berenang, melontar lembing dan mewariskan kepadanya perkara-perkara yang baik”. (riwayat Sunan al-Kubra’, al-Baihaqi)
Kata-kata hikmah, “Jika mahu lihat generasi akan datang, lihatlah generasi hari ini”.
Daripada kata-kata di atas, jelas bahawa pemuda dan pemudi hari inilah yang menentukan buruk atau baik generasi akan datang. Jika baik akhlak mereka, maka baiklah budi pekerti remaja zaman akan datang. Jika sebaliknya, kemungkinan zaman tersebut akan huru-hara dan terumbang-ambing ekoran kerosakan akhlak yang sudah berlaku sejak akhir-akhir ini.
Perumpamaan Melayu juga ada menyebut, ‘Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Begitulah tingginya harapan masyarakat kepada anak-anak muda kerana mereka inilah yang bakal memimpin dan mencorakkan masa depan negara.
Namun, yang dibimbangkan ialah apabila kebanyakan remaja terjebak dengan gejala sosial sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
Malah kerajaan juga terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit untuk menampung pelbagai program pemulihan akhlak yang bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan mereka tentang kepentingan ramaja dalam sebuah masyarakat.
Bagi menghindarkan masalah sosial di kalangan remaja ini, pelbagai pihak perlu memainkan peranan masing-masing terutama di kalangan ibu bapa termasuk masyarakat.
Ini boleh dilakukan melalui penganjuran pelbagai aktiviti berfaedah di kawasan-kawasan perumahan supaya membolehkan remaja menyertai aktiviti-aktiviti berfaedah.
Mewujudkan Rukun Tetangga (RT) di setiap kawasan perumahan misalnya mungkin mampu menjadi salah satu cara untuk mengawal anak-anak belasan tahun.
Rukun Tetangga yang progresif bukan sahaja hanya menjalankan aktiviti rondaan keselamatan tetapi mereka juga boleh menganjurkan pelbagai aktiviti di kawasan perumahan mereka.
Kawasan Rukun Tetangga Taman Dagang, Fasa 2A/3, Ampang, Selangor misalnya telah mengambil inisiatif menyediakan pelbagai aktiviti remaja termasuk mempelajari seni mempertahankan diri.
Masyarakat
Seni bela diri yang diperkenalkan itu ialah Jami’ah Al-Sidrah dengan maksud ‘Himpunan Pohon Yang Merendang.’ Ia diasaskan pada 22 Januari 2005 di bawah pimpinan seorang guru agama, Ridzuan Md. Nor, 35.
Gabungan seni bela diri silat Gayung, silat Merong dan ‘Camti’ iaitu salah satu seni mempertahankan diri masyarakat Cina itu dibuka kepada pelbagai peringkat umur termasuk lelaki dan perempuan.
Yang uniknya, seni silat itu bukan sahaja mampu mempertahankan diri pada waktu kecemasan, tetapi ia dijadikan persembahan seni budaya. Ia apabila digabungkan dengan persembahan nasyid dan bermain alat muzik yang mampu menarik minat anak-anak muda masa kini.
Kebolehan para remaja di kawasan taman itu patut dicontohi remaja lain kerana mereka bukan sahaja bergelar ‘pendekar’, malah boleh menjadi penghibur yang beridentitikan Islam.
Persembahan yang dimulakan dengan nyanyian dua lagu nasyid bertemakan keagamaan bersama alunan muzik menggambarkan seni silat itu turut meletakkan agama Islam sebagai tunggak utama dalam pembelajaran mereka.
Ini bertepatan dengan objektif penubuhan seni bela diri itu iaitu mengadaptasikan sifat ketaatan, ketakwaan, ikhlas dan jujur di dalam diri peserta.
Setelah lima minit mereka mengalunkan nasyid, persembahan pergerakan buah silat secara beramai-ramai dipertontonkan sebagai simbol semangat waja dan semangat juang serta bersikap toleransi di antara satu sama lain.
Kombinasi pergerakan lelaki dan perempuan sungguh menarik perhatian membuatkan penonton terpegun dengan aksi mereka. Terutama apabila melihat peserta kanak-kanak yang begitu pandai melakukan pergerakan seperti gaya seorang hulubalang.
Pergerakan seni silat ini adalah berbeza di antara lelaki dan perempuan yang mana pergerakan perempuan lebih tertumpu kepada bagaimana mengelak serangan berbanding menangkap serangan bagi pergerakan lelaki.
Konsep pembelajaran seni bela diri ini juga menggunakan format juzuk iaitu secara peringkat atau fasa yang mana peserta akan menjalani ujian bagi setiap juzuk pelajaran untuk kelayakan menyambung peringkat seterusnya.
Peserta juga diajar mempertahankan diri menggunakan senjata seperti pisau, pedang, keris, parang atau kayu.
Setelah kira-kira dua tahun setengah, perjalanan seni bela diri itu kini mempunyai ahli sebanyak tiga generasi yang menyaksikan keanggotaan seramai 123 orang.
Majlis khatam pertama diadakan pada 6 Julai 2007 iaitu seramai lima peserta berjaya menghabiskan pembelajaran selama 18 bulan.
Seni bela diri Jami’ah Al-Sidrah itu kini dalam proses didaftarkan di bawah pendaftar pertubuhan dan Suruhanjaya Sukan.
Namun, kemampuannya sebagai wadah alternatif pembentukan sahsiah generasi muda dan penyatuan remaja dalam satu organisasi yang berdisiplin tidak harus dipertikaikan.
Selain memelihara dan memulihara kesenian dan warisan bangsa Melayu, ia juga dapat mengetengahkan jati diri bangsa Melayu dan budaya rakyat negara ini dengan adab dan adat ketimuran ke dunia global.
Pengasas seni silat itu, Ridzuan berkata, idea penubuhan silat ini tercetus setelah memikirkan keadaan persekitaran sekarang yang dilihat sudah tidak selamat ekoran pelbagai kes jenayah berlaku di depan mata.
Mempromosikan
“Selain mempelajari ilmu mempertahankan diri, para remaja boleh mengisi masa terluang mereka dengan aktiviti berfaedah daripada menjadi ‘mat rempit’ atau berpeleseran tanpa arah tuju,” katanya yang juga pakar motivasi.
Setakat ini, menurut Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wan, persembahan seni bela diri itu kerap menerima jemputan mengadakan persembahan untuk pelbagai majlis keramaian yang mana secara tidak langsung dapat mempromosikan dan memperkenalkan seni bela diri itu pada masyarakat sekitar.
“Setiap peserta akan mendapat imbuhan hasil bayaran yang diperoleh daripada jemputan persembahan di samping mengutip dana untuk tabung surau bagi memperbanyakkan lagi aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan,” jelas Ustaz Wan yang juga setiausaha RT dan Surau Ar-Rahmaniah taman itu.
Aktiviti kemasyarakatan RT dan seni bela diri itu turut mendapat sokongan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional daerah Hulu Langat sebagai penasihat dan penyediaan gelanggang.
Sementara itu, Surau Ar-Rahmaniah pula bertindak sebagai tulang belakang dalam usaha mempelbagaikan aktiviti surau tersebut.
Selain seni bela diri, anak-anak remaja di taman itu juga turut diajar demonstrasi mencegah kebakaran dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mendedahkan mereka bagaimana mengawal dan menyelamatkan mangsa sewaktu kebakaran.
“Dengan kos sebanyak RM20,000 daripada kerajaan negeri, kita dapat menubuhkan satu pasukan bomba dan juga akan memiliki sebuah jentera bomba yang mana dapat memberi faedah kepada anak muda untuk mengutamakan keselamatan diri,” ujar Ustaz Wan bertugas sebagai guru agama di Sekolah KAFA Integrasi Ar-Rahmaniah.
Melalui aktiviti-aktiviti remaja sedemikian, kita bukan sahaja dapat menghindarkan mereka daripada terjebak dengan gejala sosial malah mampu melahirkan remaja berwawasan yang patuh kepada agama, bangsa dan negara.

Comments

  1. Salam Perkenalan!
    Silat ini bila bolih didaftarkan dalam persatuan silat malaysia.

    ReplyDelete
  2. Sila masukkan jawatankuasa kerja iaitu organisasi dan lagu tema

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah, sidrah telah di daftarkan di bawah dartar pertubuhan dengan nama (pertubuhan Seni Beladiri Jam'iah Al-Sidrah (Baru).
    sila rujuk keterangan yang di siarkan di atas.

    ReplyDelete
  4. Tahniah!
    Kena lantik Penaung atau Penasihat iaitu samada MB atau Ketua Menteri supaya silat ini dapat diperkenalkan dinegeri-negeri tertentu.Lagi satu didalam pertunjukan silat gerak geri pesilat perlu diberi perhatian contohnya Muhammad Akhir sila beri panduan kepada beliau kerana beliau melihat kebawah dan tidak merenung pesilat yang menentangnya semasa diawal pertarungan.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

BUAT RENUNGAN ANAK PERGURUAN SIDRAH, MUSLIMIN DAN MUSLIMAH

SELAMAT HARI RAYA IEDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN

Bingkisan Paduka Jurus