Adaptasi Budaya

Mengadaptasi Budaya Asing

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia turut termasuk bersama golongan itu.”(Hadith Riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Sekarang kalau kita tengok makin menjadi perangai anak-anak muda Melayu yang gemar mengikut budaya asing. Kalau yang baik diikutkan tak salah, tapi yang buruk dijadikan tauladan. Mungkin ada yang mengatakan mereka yang mencuba sebelum usia lanjut, jujur aku katakan, aku dulu lebih kurang juga. Ada satu budaya yang aku cuba “dalami”. Masa zaman muda-muda terasa seronok mencuba.Namun walaupun waktu itu aku mengikut budaya asing, adat tertib Melayu masih aku amalkan, ajaran agama tidak aku abaikan. Anak muda sekarang aku tengok, astaghfirullah. Hilang sudah ciri-ciri Melayunya, ciri keIslaman lagilah.

Setiap hujung minggu aku biasanya keluar dengan rakan-rakan. Buat melepaskan tekanan yang dihadapi. Masa inilah aku dapat melihat anak Melayu kita bersikap mengagungkan budaya barat. Skinheads, Punks, Emo, Gothic, dan sebagainya. Namakan apa sahaja budaya semuanya dapat dilihat disekitar bandaraya.Pada pendapat aku, kalau sekadar ingin bergaya tak mengapa. Tapi ini dah hampir seratus peratus diikutnya. Di tangan tak lengang dengan minuman seperti JD, Heineken, Guiness, dan Tiger. Bila aku cuba memandang, ada saja yang cuba buat muka gangster. Mungkin harap orang lain takut pada mereka.Apa yang menyedihkan aku adalah bukan sekadar mereka ni anak Melayu, tetapi kebanyakkannya masih kanak-kanak sekolah, belum tamat SPM. Kadang kala aku tertanya sama ada mereka ni fikirkan masa depan atau tidak. Apa yang lebih membuatkan aku rasa pelik adalah kenapa mereka sanggup mengadaptasi budaya yang buruk, tetapi mengabaikan budaya yang baik.

Kalau dibarat golongan seperti Skinheads dan Punks, mereka wujud kerana ingin memberontak atas ketidakadilan. Tapi anak Melayu disini? Apa yang mereka cuba lakukan? Sekadar melepak ditepi jalan, timbulkan huru-hara, timbulkan perasaan buruk sangka pada para pelancong.Masih aku ingat ada satu temu ramah yang dijalankan oleh ntv7. Temu ramah sewaktu Merdeka. Soalan yang ditanyakan kepada seorang remaja Punk dari Sabah, “Apa yang adik mahukan?”. Jawabnya, “Saya mahukan kebebasan, bebas daripada kerajaan!”.

Aku sendiri kurang pasti sama ada dia tahu apa yang dipercakapkan atau tidak. Cuba ditanyakan kenapa tidak mahukan kerajaan? Pasti mereka akan menjawab, mahukan Anarchy. Alangkah rendahnya mentaliti mereka. Apa itu definisi anarki pun mereka tidak tahu. Apa yang mereka tahu, hanya melaungkan, ikut sahaja apa yang dilakukan oleh mereka dibarat.Lagi perkara lucu pada pendapat aku, adalah mereka yang mengaku anti polis. Mungkin kerana terpengaruh dengan lagu dendangan The 4Skins iaitu A.C.A.B. Tertanam sudah dalam dijiwa akan perasaan benci akan polis. Tanpa mengetahui bahawa golongan Skinheads diluar bukanlah membenci para polis secara keseluruhan, tetapi mereka yang mengambil rasuah, salah guna kuasa, dan bersikap tidak adil. Tapi adakah anak-anak Melayu ini tahu akan perihal ini?
Melihat pula pada satu golongan lain yang kini meningkat naik “pengikutnya”, Emo. Golongan ni kalau tengok disekitar kawasan Bukit Bintang memang ramai. Sampai wujud rasa macam bukan lagi di Malaysia. Dengan berpakaian hitam dan merah, muka disolek, bersarung tangan, dan berpayung. Apa tujuan mereka? Aku sendiri kurang pasti.Kalau dibarat golongan emo adalah mereka yang diabaikan oleh ahli keluarga.

Tapi kalau di Malaysia, aku perhatikan gaya semuanya, mereka dapat perhatian penuh daripada keluarga.Mungkin kerana ingin mengikut gaya artis seperti My Chemical Romance, Panic! At the Disco, dan sebagainya, menyebabkan mereka berpewatakkan sebegini. Apa menyedihkan adalah ramai daripada mereka tidak tahu akan asal usul mengapa wujudnya budaya emo ini diwujudkan. Apa yang mereka tahu, ikut sahaja. Apa yang dinyanyikan, ikut, apa yang dipakai, ikut. Tidak perlu fikir panjang.

Satu lagi budaya yang memang dah terkenal sekarang, terutama disekitar Kuala Lumpur, rempit. Rasanya golongan inilah yang paling bertuah kerana dapat pengiktirafan daripada Putera UMNO. Tidak cukup dengan itu, ada pula tayangan filem dibuat berkenaan cara hidup mereka. Untung sungguh mereka.Aku kurang pasti daripada negara mana budaya rempit ini asalnya. Apa yang pasti adalah mereka cukup sinonim dengan budaya lumba haram, dan gangsterism. Siapa ahlinya? Anak-anak Melayu juga. Secara jujur, aku tidak kisah sedikit pun kiranya mereka nak berlumba, bergadai nyawa. Tapi perlukah orang awam, mereka yang tidak terlibat turut dilibatkan sama? Lagi lucu, ada diantara mereka masa merempit tak fikir akan akibatnya. Bila dah berlaku kemalangan, barulah nak menyesal. Taubat, tapi hanya sementara.Ada pula yang selalu tunjuk lagak samseng. Dia yang berlumba, langgar kenderaan orang awam, tapi akhirnya orang awam yang dipersalahkan. Siap minta ganti rugi. Bila direnungkan keadaan ini alangkah hibanya rasa hati.

Cuba kita fikirkan sejenak, mengapa budaya yang buruklah anak muda kita gemar ikut. Orang asing berjaya membuat teknologi terbaru, memperkenalkan ubat-ubatan baru, mencipta formula-formula baru, ini semua tidak mahu pula diadaptasi oleh golongan-golongan tadi.Sekurang-kurangnya jadikanlah mereka yang berjaya sebagai idola. Ini tidak, apabila ditanya siapakah idola mereka? Jawapan yang biasanya diberi adalah Joe Hawkins, My Chemical Romance, dan lain-lain nama artis. Ada juga yang menjadikan para pelumba sebagai idola. Cuma bezanya mereka berlumba dengan selamat, tetapi anak Melayu disini berlumba mencari maut.Namun walaupun wujudnya golongan-golongan ini, aku masih bersyukur kerana ada juga anak Melayu yang mengadaptasi budaya asing yang baik. Mereka berusaha keras untuk mencipta vaksin terbaru, cuba mewujudkan teknologi terbaik untuk negara, dan belajar formula-formula terbaru. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya masih wujud golongan yang mampu berfikir secara waras.

Akhir kata, aku ingin sampaikan bahawa nawaitu aku bukanlah hendak menghina bangsa Melayu, tiada gunanya untuk aku lakukan. Tapi adalah untuk sedarkan anak Melayu yang semakin hanyut dalam dunia yang penuh kepalsuan. Ingatlah, ketika lahir kita diazankan. Apabila meninggal dunia kita akan disolatkan. Ruang antara azan dan solat adalah teramat pendek. Usah dibazirkan nyawa yang singkat, daripada mengikut budaya yang buruk, baiklah memperbaiki diri supaya menjadi bangsa berwibawa.

~Mahawangsa.

Comments

Popular posts from this blog

BUAT RENUNGAN ANAK PERGURUAN SIDRAH, MUSLIMIN DAN MUSLIMAH

SELAMAT HARI RAYA IEDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN

Bingkisan Paduka Jurus